Monday, December 14, 2009

Kerjaya Terbaik untuk Wanita

WANITA adalah makhluk yang diberikan pelbagai kelebihan oleh Allah. Dengan kelebihan yang dimilikinya itu, dia berupaya melaksanakan pelbagai perkara dalam satu masa dengan tekun dan rapi. Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan sekiranya kaum Hawa juga mampu menguasai dunia pekerjaan dan bergelar pemimpin yang selama ini kebanyakannya didominasi oleh kaum Adam. Ternyata kredibiliti yang dimiliki oleh kaum wanita tidak harus dipandang sebelah mata. Bagi mengetahui apakah kerjaya yang cocok atau sesuai disandang oleh wanita, apa kata semak info di bawah.





1. Pegawai Perhubungan Awam (Public Relationship - PR)
Wanita sememangnya dikenali sebagai individu yang banyak bercakap. Malah kajian gender yang dilakukan turut bersetuju bahawa wanita adalah 'makhluk komunikasi' sementara lelaki pula adalah individu penuh logika yang 'kaku' dan tidak banyak berkomunikasi. Jadi, berdasarkan faktor komunikasi yang baik, wanita adalah 'wakil' yang tepat
untuk menjaga syarikatnya.

2. Peguam
Kemampuan berbicara memang sudah menjadi kelebihan wanita. Kebolehan dalam mengeluarkan hujah-hujah bernas bisa 'memikat' perhatian hakim. Bukan itu sahaja, kemampuan mereka sewaktu mengadakan rundingan juga menjadi 'bonus' untuk mereka bergelar seorang peguam yang unggul.

3. Pakar perunding (Consultant)
Seorang pakar perunding seharusnya mampu menyelesaikan masalah para pelanggannya. Wanita memiliki kelebihan dan tahap kesabaran yang tinggi untuk mengorek keterangan secara mendalam terhadap sesuatu perkara atau permasalahan. Jadi, kerjaya sebagai perunding sangat sesuai buat mereka.

4. Pakar Kanak-kanak
Kerjaya sebagai pakar kanak-kanak sangat sesuai untuk kaum Hawa. Ini kerana secara nalurinya, golongan ini lebih 'mesra' dengan kanak-kanak. Itu belum lagi sekiranya mereka memiliki anak sendiri. Pastinya, mereka lebih memahami situasi ibu bapa kanak-kanak tersebut apabila anak mereka sakit.

5. Pakar Psikologi
Pakar psikologi yang baik adalah seorang pendengar yang baik. Malah secara dasarnya, wanita sangat suka berbicara dari hati ke hati. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan, hampir semua wanita 'berbakat' menjadi seorang pakar psikologi.

6. Perancang Kewangan
Pasti ramai yang pernah mendengar bahawa wanita adalah pengurus kewangan terbaik dalam keluarga. Ini kerana mereka sudah biasa mengurus dan merencana perjalanan kewangan mereka. Biarpun dikatakan agak boros berbelanja, namun wanita bijak merencana perjalanan kewangan mereka. Jadi, mana mungkin kebolehan mereka dalam urusan tersebut diragui.

7. Pereka
Rekaan merupakan bidang seni yang bersifat feminin dan mengutamakan cita rasa. Namun, ia bukanlah sesuatu yang sulit bagi wanita kerana lingkungan kehidupan mereka sememangnya sudah dilingkari dengan pelbagai tugas yang berkaitan dengan seni. Sebagai contoh, bermula dalam soal memilih pasangan hinggalah menata rias kediaman.

8. Jualan & Pemasaran
Bagi wanita, memperluaskan rangkaian perhubungan adalah sebahagian daripada rutin hidupnya. Cubalah hitung dalam sebulan, berapa kali anda punya temu janji dengan teman lama? Itu belum termasuk agenda lain yang lebih daripada satu setiap bulan. Sedar atau tidak, dari situ rangkaian perhubungan berkembang dan urusan kerja seharian berjalan lebih lancar.

9.Pengarah Urusan
Memegang jawatan sebagai pengarah urusan bermakna seseorang individu itu harus mengetahui dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan kemajuan syarikatnya. Ini bermakna, mereka yang memegang status jawatan ini harus peka dan bertanggungjawab. Berbicara soal kepekaan dan tanggungiawab, sebenarnya wanitalah yang paling hebat.

10.Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Wanita juga layak bergelar CEO. Semua kriteria untuk bergelar seorang CEO dalam syarikat kini sudah mampu dipenuhi oleh kaum Hawa. Percaya atau tidak, wanita secara lahiriah sudah memiliki lebih kemampuan untuk bergelar seorang pemimpin. Bukan itu sahaja, mereka juga berupaya membentuk sebuah kumpulan pekerja dan mengendalikannya serta mampu membuat keputusan yang tepat.

No comments:

Post a Comment